CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 25 Mac 2008

Jom Main Super Mario

Khamis, 13 Mac 2008

Al-Jahiz - Ahli Zoologi Islam Pertama


PENGETAHUAN dalam bidang alam semula jadi termasuk kehidupan alam haiwan merupakan pengetahuan yang penting untuk didalami oleh kebanyakan masyarakat. Ini kerana tanpa alam semula jadi seperti tumbuhan dan haiwan, manusia tidak mampu hidup di muka dunia ini. Sehubungan itu, kepentingannya tidak dapat dinafikan dan pengetahuan mengenai sering diturunkan daripada para guru dan ibu bapa kepada pelajar dan anak agar mendekati alam ini dengan lebih akrab dan sentiasa menghormati kewujudannya walaupun kadang kala kita tidak mengenalinya.


Alam haiwan misalnya merupakan satu alam yang masih banyak tidak diketahui oleh manusia atau saintis masa kini walaupun usaha mengkajinya telah dijalankan sejak beribu tahun dahulu. Bagi umat Islam, mereka seharusnya berbangga kerana terdapatnya ilmuan Islam yang telah lama menjalankan kajian mengenai alam haiwan ini dan tokoh tersebut ialah Abu Uthman Amr ibn Bakr al-Kinani al-Fuqaimi al-Basri atau lebih dikenali sebagai al-Jahiz.


Al-Jahiz boleh dikatakan sebagai ahli zoologi Islam yang pertama memandangkan ia telah menghasilkan sebuah buku mengenai alam haiwan dikenali sebagai `The Book of Animals’. Ada pendapat yang menyatakan saintis Islam ini merupakan antara yang pertama membicarakan mengenai teori evolusi manusia dan haiwan. Beliau lahir pada tahun 776 iaitu 14 tahun selepas Baghdad diasaskan oleh Abbasid Caliph al-Mansur. Al-Jahiz belajar membaca dan menulis pada awal usia dan menceritakan bagaimana ibunya memberinya ‘sedulang’ kertas nota dan memberitahunya bahawa kertas-kertas itu boleh menyara hidupnya kelak.


Akhirnya, Al-Jahiz memulakan kariernya sebagai penulis dan antara tulisannya yang paling tersohor ialah Book of Animals. Beliau menerima 5,000 dinar emas dari pegawai yang menerima buku Book of Animals. Al-Jahiz telah menulis lebih 200 naskhah buku tetapi hanya 30 naskhah dapat diselamatkan. Hasil kerjanya meliputi bidang zoologi, tata bahasa Arab, puisi, retorika dan kamus. Beliau dianggap sebagai salah seorang saintis Islam yang menulis mengenai saintifik dan subjek yang kompleks untuk orang kebanyakan. Hasil kerja Al-Jahiz yang terpenting ialah Book of Animals iaitu Kitab al-Hayawan yang mana sungguhpun tidak lengkap, ia mengandungi tujuh jilid yang edisinya dicetak. Ia mengandungi maklumat saintifik yang penting dan jangkaan konsep nombor yang hanya dibangunkan sepenuhnya sehingga separuh kurun ke-20.


Dalam buku itu, Al-Jahiz membincangkan perkara mengenai peniruan haiwan iaitu sesetengah parasit menyesuaikan warnanya mengikut haiwan yang ditumpanginya. Beliau juga menulis panjang lebar mengenai pengaruh cuaca dan diet manusia serta tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang hidup di persekitaran geografi dan kawasan yang berbeza. Beliau turut membincangkan mengenai komunikasi di antara haiwan, psikologi dan tahap intelek serangga dan beberapa spesies haiwan. Selain itu, beliau menyediakan turutan yang lengkap mengenai organisasi sosial serangga yang diperoleh daripada pemerhatiannya. Antaranya bagaimana serangga menyimpan biji-bijian di dalam sarang yang tidak rosak pada musim hujan. Beliau juga tahu sesetengah serangga bertindak balas terhadap cahaya dan telah menggunakan maklumat ini untuk mencadangkan satu kaedah memerangkap nyamuk dan lalat.


Pada awal pelopor sains zoologi dan antropologi, Al-Jahiz telah menemui bahawa kesan alam sekitar terhadap kehidupan haiwan dan juga memerhati perubahan spesies haiwan berdasarkan beberapa faktor. Dalam beberapa muka surat buku itu, beliau turut menggambarkan konsep sains yang biasanya berlainan dengan konsep yang dinyatakan oleh Charles Darwin. Konsep Al-Jahiz adalah sesuatu yang baru dalam sejarah sains dan sungguhpun ahli falsafah Greek seperti Empedocles dan Aristotle membicarakan perubahan dalam tumbuhan dan haiwan, mereka tidak melakukan langkah pertama untuk memperkembangkan teori itu secara komprehensif.


Bagi mereka, perubahan itu hanya satu konsep yang ringkas dan pergerakannya pula tidak memberi makna apa-apa. Sebanyak 87 lembaran daripada buku Book of Animals (kira-kira satu pertiga daripada teks asal yang ditulis oleh al-Jahiz) kini dipelihara dan disimpan di Perpustakaan Ambrosiana Library di Milan, Itali. Koleksi itu (salinan daripada naskhah asal) bertarikh kurun ke-14 dimiliki oleh pemilik terakhir, Abd al-Rahman al-Maghribi, tahun 1615. Lembaran daripada buku Book of Animals itu mengandungi lebih 30 ilustrasi dalam bentuk kecil.


Al-Jahiz kembali ke Basra selepas menghabiskan masa lebih 50 tahun di Baghdad. Beliau meninggal dunia di Basra pada tahun 868 akibat kemalangan ditimpa rak buku di perpustakaannya.

KEPENTINGAN MENGUASAI ILMU YANG BERMANFAAT


Al-Quran memberikan asas tentang ilman nafia atau ilmu yang bermanfaat dan yanfaunnas atau sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia. Sejarah pertumbuhan ilmu dan tamadun Islam telah menyebabkan ia tidak tertutup untuk memanfaatkan faedah berbanding dari tradisi keilmuan orang lain. Ada asas-asas universal yang terdapat pada ilmu yang berkenaan yang tidak bercanggah dengan faktor akidah dan syarak.
Kunjungan al Biruni ke India, pengembaraan Ibn Battuta ke serata ceruk dunia, penguasaan al Farabi, Ibn Sina terhadap ilmu-ilmu falsafah Greek-Yunani, anjuran Rasulullah supaya ilmu dituntut hingga ke negeri China.

Begitu juga kaedah menebus diri tawanan perang dengan mengajarkan anak-anak Islam kemahiran membaca dan menulis pada zaman Rasulullah. Semuanya adalah asas sandaran bahawa di samping pemerkasaan ilmu-ilmu Islam, ilmu yang bermanfaat dari tradisi dan tamadun lain harus dicari selagi ia tidak bercanggah.

Lebih-lebih lagi dewasa ini umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu-ilmu sains dan teknologi dari Barat dan Timur. Hasil kekuatan sains dan teknologi ini kuasa-kuasa Barat memiliki upaya menakluk dan menjajah dan kuasa-kuasa sedang muncul sebagai negara maju dan bakal menjadi kuasa besar.

Penaklukan dan penjajahan kini tidak seperti dulu. Kehebatan teknologi langit terbuka, rangkaian teknologi maklumat dan komunikasi, kesuburan media cetak dan elektronik, rangkaian Internet dan sistem komputer yang canggih telah memberikan bentuk ‘penjajahan’ baru kepada umat Islam.

Cabaran untuk mengetahui aspek-aspek teknologi amat dituntut supaya umat Islam tidak selamanya menjadi pengguna kepada keunggulan ilmu dan teknologi Barat umpamanya sehingga Barat dijadikan indikator maju, moden, membangun dan berubah secara mutlak.

Mempelajari teknologi atau ilmu alat tidaklah salah. Teknologi dari sudut Islam selamanya alat. Ia bukan matlamat. Matlamat dalam komputer dan Internet umpamanya ialah untuk memperkaya, mempercepat dan mempelbagaikan maklumat supaya pemikiran manusia menjadi lebih luas.

Secara mekanistiknya tidaklah salah. Tetapi terdapat sesetengah maklumat, perisian, input dan program dalam komputer dan Internet mengandungi hal-hal yang sifatnya menyalahi. Ia memerlukan daya saring yang tinggi di kalangan pengguna supaya pengguna dapat membezakan yang baik dengan yang buruk dan yang bermanfaat atau sebaliknya.

Adalah menjadi cabaran remaja untuk memahami keadaan ini supaya para remaja tidak terjebak dalam perangkap Barat atau yang boleh merosakkan minda remaja. Persoalan maklumat berkait rapat dengan pemikiran. Orientasi maklumat yang datang dari budaya orang lain kadang-kadang membawa orientasi dan nilai yang tidak sama dengan nilai-nilai Islam.

Apa yang patut dilakukan oleh remaja ialah memiliki tekad dan azam yang tinggi untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat dari orang lain, tradisi lain malah tamadun lain. Oleh kerana sifat sains dan teknologi berkembang, para remaja harus bersedia untuk menguasai ilmu-ilmu baru supaya umat Islam sentiasa semasa dengan perkembangan zaman. Namun begitu para remaja harus terlebih dahulu menguasai asas-asas ilmu dan pemikiran Islam. Ulama dan ilmuwan Islam di zaman gemilang dulu menguasai ilmu-ilmu mengenai akidah, syariah, ibadah dan akhlak supaya mereka memiliki jati diri sebagai seorang Islam yang berilmu dan menghayati ilmu.

Asas-asas ini sangat penting untuk memberikan para remaja kekuatan diri menghadapi maklumat, data dan fakta dari sumber-sumber orang lain atau sumber berbanding. Apabila dewasa kelak, ia akan berkembang kerana sifat ilmu dan maklumat tidaklah statik. Batas fardu ain umpamanya tidak memadai bagi remaja. Ini kerana corak cabaran semasa jauh menuntut supaya penguasaan ilmu alat seperti sains dan teknologi, komputer dan penyelidikan, pengurusan dan perundangan, ekonomi dan kajian ilmu-ilmu kemanusiaan, tamadun dan sistem nilai supaya remaja mempunyai perspektif yang betul dan asas yang jelas mengenai ilmu Islam dan kaitannya dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dari sumber orang lain.

Adalah tidak memadai seorang umat Islam yang menguasai ilmu fardu kifayah maka semua yang terlepas dosa. Ia adalah syarat fikah yang minimum.Ilmu dan maklumat bukanlah sesuatu yang sifatnya berkecuali. Tumbuhnya ilmu dan suburnya maklumat adalah dari pengalaman budaya dan sistem nilai yang dimiliki dan diwarisi oleh sesuatu bangsa dan tamadun. Tamadun Barat pada hari ini banyak menumpukan kepada faktor-faktor memajukan benda dan pemikiran berasaskan faham sekular dan liberal.

Faham ini amat berbahaya bagi orang-orang Islam kerana ia menolak kepentingan agama dan sistem nilai. Oleh itu para remaja yang memiliki asas ilmu Islam yang baik tidak mempunyai masalah untuk memanfaatkan sumber-sumber dari Barat atau Timur sekiranya para remaja dapat membezakan buruk-baik akan sesuatu dan dapat mengenal sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.

Teknologi komputer umpamanya adalah sesuatu yang baik untuk di pelajari. Dari sudut perkakasan (hardware) dan teknologinya tidaklah ada masalah bagi remaja mempelajarinya. Tetapi apabila menggunakannya sistem nilai dan kekuatan agama adalah perlu bagi memandu remaja melayari yang baik dan menghindarkan yang tidak berfaedah. Yang memberikan perbezaan dari segi penggunaan ialah sistem nilai dan etika yang dimiliki oleh remaja. Sekiranya sistem nilai dan etika itu lahir dari penghayatan tradisi Islam, maka para remaja akan memiliki kekuatan serta berupaya memilih dan menyaring sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya. Dalam masa yang sama, remaja harus rasa tercabar untuk meneroka dan menghasilkan perisian yang selari dengan proses pembudayaan dan pemikiran yang sejalan dengan nilai-nilai Islam. Ia adalah proses yang tidak mudah dan menuntut masa yang lama dan panjang kerana sifat teknologi dan maklumat selalunya dinamik dan tidak statik. Ia adalah suatu usaha yang berterusan. Cara sebegini jugalah yang pernah berlaku di Eropah dalam proses memanfaatkan ilmu-ilmu Islam di kalangan sarjana mereka. Walaupun mereka menguasai bahasa di mana ilmu Islam itu lahir dan tumbuh tetapi sumber ilmu ditatang dengan menggunakan bahasa Latin dan Ibrani dan dewasa dalam kehidupan zaman reformasi dan Renaissance sehingga menjadikan ilmu itu terpisah dengan sistem nilai dimana ilmu itu asalnya subur. Lama kelamaan ilmu itu menjadi sekular dan berkembang secara liberal tanpa terikat dengan nilai-nilai agama. Remaja Islam harus mempunyai tekad untuk menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik sehingga dewasanya nanti memiliki keahlian dan kepakaran dalam bidang-bidang yang tertentu. Kesediaan dan keterbukaan perlu ada untuk memanfaatkan faedah-faedah berbanding dalam ilmu-ilmu dari sumber dan tamadun lain supaya akhirnya ilmu tersebut berkembang dalam orientasi dan budaya Islam.

Inilah asas-asas integrasi dan Islamisasi yang sedang berlaku supaya ilmu-ilmu yang bermanfaat terbentuk dalam acuan kita sendiri. Darinya umat Islam akan menjadi maju di samping keunggulan ilmu dan tamadunnya sendiri. Penyuburan ilmu-ilmu Islam seharusnya berlaku supaya ia menjadi teras membangun acuan sendiri yang sifatnya menyumbang dan memperkayakan.

- Artikel dipetik dari Mega, Utusan Malaysia 19 April 2007.

Khamis, 6 Mac 2008

GURINDAM PELAJAR

Jika anda jadi pelajar,
Jangan malas untuk belajar.

Jika anda menuntut ilmu,
Jangan sesekali berasa jemu.

Jika rajin mengulang kaji,
Mudah jawab apa diuji.

Jika anda hendak berlatih,
Mesti tahan penat letih.

Jangan asyik berangan-angan,
Tekun gigih jadi pegangan.

Jika berusaha sambil lewa,
Tidak hairan kalau kecewa.

Jika belajar tidak jemu,
Banyak ilmu akan ditemu.

Apa gunanya banyak bercakap,
Jika kerja tidak cekap.

Jika suka ponteng sekolah,
Ilmu tidak dapat tentu rugilah.

Berusaha dengan bersungguh-sungguh,
Jangan suka tangguh-tangguh.

Jika tak mahu dengar nasihat,
Apabila besar jadi jahat.

Jika tulisan terang dan bersih,
Hati pemeriksa sayang dan kasih.

Banyak membaca fikiran kaya,
Rajin berusaha pasti berjaya.

Jika tulisan tak boleh dibaca,
Mata pemeriksa akan berkaca.

Masa itu emas dan wang,
walaupun sedikit jangan dibuang.

Jangan nanti esok lusa,
Masa beredar tanpa dirasa.

Jika leka sering bersuka,
Tidak hairan datang celaka.

Jika rajin membaca buku,
Otak cerdas tidak beku.

Jangan mudah putus asa,
Semua harapan hancur binasa.

Jika anda bekerja kuat,
Banyak perkara boleh dibuat.

Budi bahasa amat berharga,
Tingkah laku wajib dijaga.

Sudah tahu belajar lagi,
Banyak untung tiada rugi.


Mas Adeki

GURINDAM PELAJAR II






















Kurangkan hiburan utamakan pelajaran,

Gigih berjuang hadapi cabaran.

Jika anda malas belajar,
Markah sedikit memanglah wajar.

Jika buat lebih kurang,
Markah pasti dapat kurang.

Dengar lihat fikir buat,
Semangat usaha gigih kuat.

Kurangkan cakap banyakkan kerja,
Tekun cekap semangat waja.

Jangan asyik leka bersuka,
Hilang suka wujud duka.

Jika hidup tidak beriman,
Iblis setan menjadi teman.

Pelajar wajib berfikiran positif,
Otak cerdas badan pun aktif.

Pantang sekali berputus asa,
Akan membawa diri binasa.

Kuatkan azam tabahkan hati,
Teruskan usaha tunjukkan bukti.

Pelajar sopan berbudi bahasa,
Pandai pula membalas jasa.

Masa itu amat berharga,
Biar sesaat hendaklah dijaga.

Ada masa terus buat,
Jangan sampai nanti terlewat.

Baca soalan dengan teliti,
Kemudian jawab dengan hati-hati.

Soalan senang jawapan tak susah,
Fikiran tenang janganlah gelisah.

Tegur nasihat untuk membina,
Jangan sesekali dikata menghina.

Jika perkataan disalah eja,
Markah hilang begitu sahaja.

Jika guru sentiasa peka,
Para pelajar janganlah leka.

Jika guru berusaha gigih,
Pelajar pula mestilah canggih.

Susah senang perkara biasa,
Setiap insan pasti merasa.

Hadapi peperiksaan dengan tabah,
Tenangkan perasaan usah gelabah.

Kalau markah dapat sedikit,
Hati di dalam janganlah sakit.

Jika jawapan tidak disemak,
Dakwat merah turut menyemak.

Jika guru tidak dihormati,
Ilmu yang dapat tidak diberkati.

Rujuk selalu Kamus Dewan,
Dampingi selalu jadikan kawan.

Budaya lepak janganlah amalkan,
Gagal periksa jangan kesalkan.

Mas Adeki

PENGARANG PROLIFIK



Faisal Tehrani adalah nama pena kepada Mohd Faizal Musa. Beliau dilahirkan pada 7 Ogos 1974 di Hospital Kuala Lumpur. Pada usia 5 tahun beliau dibawa ibu-bapanya berpindah ke Melaka dan dibesarkan di kota bersejarah tersebut.

Faisal Tehrani mendapat pendidikan awal di Sekolah Sacred Heart Melaka, kemudian di Sekolah Rendah Jalan Dato? Palembang dan memperolehi 5 A untuk peperiksaan Penilaian. Faisal kemudian menuntut di Sekolah Menengah Sultan Muhammad sehingga Tingkatan Tiga, lantaran keputusan SRP yang cemerlang, beliau ditawarkan belajar di Kolej Islam Kelang (Kolej Islam Sultan Alam Shah). Kisah-kisah awal remaja Faisal banyak disirikan di dalam majalah Fokus SPM.

Faisal seterusnya menuntut di Akademi Islam Nilam Puri Kelantan sebelum meneruskan pengajian sehingga memperolehi ijazah Sarjana Muda Syariah Politik dari Universiti Malaya.Tidak lama kemudian Faisal menjadi fellow di Universiti Sains Malaysia. Beliau meneruskan pengajian peringkat Sarjana (MA) dalam jurusan Kesusasteraan dan kini melanjutkan pelajaran dalam kedoktoran (PhD) pula di UKM.

Dalam bidang drama pentas Faisal menulis tiga buah drama setakat ini iaitu Rintih Chicago (memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97), drama Angin Madinah (memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia dan DBP) serta drama MISI yang dikerjakan bersama pengarah muda terkenal Nam Ron. Dalam tahun 2002 dilaporkan beliau akan bekerjasama sekali lagi dengan Nam Ron di samping mementaskan sebuah drama yang diadaptasi dari sebuah novel sensasi karangan seorang Sasterawan Negara.Dalam genre novel, Faisal menulis antara lain novel Cinta Hari-hari Rusuhan (Creative Enterprise 2000) dan Perempuan Politikus Melayu (Penerbitan Pemuda 2000). Novel Perempuan Politikus Melayu mendapat pujian pengkritik sastera antara lain seperti Profesor Madya Amida Abdul Hamid, SM Zakir dan Dato Johan Jaafar dan dianggap sebuah novel yang berani. Novel Jendela Berlangsir Hujan disirikan dalam majalah EH! mendapat sambutan dan masih berlangsung mengenai persahabatan tiga gadis Latha Baskaran, Dang Asmara dan Chloe Robertson. Novel bersiri Dongeng Kingdom Of Flowers di majalah al-Wasilah bagaimanapun terbantut setelah majalah remaja tersebut diharamkan oleh kerajaan tanpa sebarang alasan. Faisal beruntung mendapat asuhan antara lain dari Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, Sasterawan Negara Dato Shahnon Ahmad, pemenang SEA Write Award Zaharah Nawawi dan Sutung Umar RS dalam bidang puisi. SN Dato Shahnon malah mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga Faisal. Pada tahun 1999 Faisal bersama Mawar Shafie, Hizairi Othman, Jasni Matlani mewakili Malaysia ke Program Penataran Sastera anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara di Jakarta dan Bogor.

Cerpen pertama beliau tersiar pada tahun 1992 di majalah Muslimah dengan judul Anastasia. Faisal hanya disedari oleh khalayak sastera pada tahun 1994 apabila cerpen-cerpen beliau iaitu cerpen Anak dan cerpen Opah memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank 1994. Tahun yang sama beliau memenangi Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat menerusi cerpen Malam Ini Philadelphia Menangis, anugerah paling berprestij untuk penulis remaja waktu itu (kini sudah tiada).

Kejayaan ini diikuti pada tahun 1995 apabila beliau memenangi sekali Hadiah Sastera Utusan dengan cerpen Pemberontakan Kedua. Tahun 1996 Faisal dikurniai rezeki yang murah dengan memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank dengan cerpen Perempuan Anggerik dan cerpen Api KL Belum Terpadam, Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran BAHEIS kelapan dengan cerpen Menanti Subuh. Dalam tahun 1997, cerpen Surat Untuk Gabe 1 memenangi Hadiah Sastera Karya.

Faisal seterusnya memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia pada tahun 1998 (dengan cerpen Cinta Gendang Kasturi), 1999 (cerpen Bulan dan Wira dan puisi Sesudah Hujan Dahlia) dan dalam tahun 2000 dengan cerpen Irisan-irisan Mimpi dan Syahid Raja Api. Faisal juga memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 96/97 dengan cerpen Perempuan Anggerik. Cerpen beliau ini diterjemahkan ke bahasa Thai, Inggeris dan Jepun serta diadaptasi ke dramatari oleh kareografer terkenal Adikara Dance Theatre, Jasni Abdul Hamid pada 29 Julai 2001. Dalam tahun 2001 juga Faisal memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam dengan cerpen Cahaya Pada Jiwa. Salah sebuah cerpen Faisal iaitu Kerana Manisnya Epal terkandung dalam komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu bagi Tingkatan Empat. Dua kumpulan cerpen mini beliau diterbitkan di Sasbadi dengan judul Sehari Dalam Perang (1997) dan Safari Gilgit (1997). Beliau membuat "kecoh" bersama Azman Husin dalam tahun 2000 dengan menerbitkan Kumpulan Cerpen Underground secara "berduet".

Beliau merupakan seorang pengarang yang prolifik dan konsisten dalam menghasilkan karya-karya sastera. Antara novel-novel yang dihasilkan oleh Faisal ialah 1511 H (Kombat), 1515, Advencer Si Peniup Ney, Bedar Sukma Bisu, Bila Tuhan Berbicara, Cinta Hari-hari Rusuhan, Detektif Indigo, Ikan Fugu, Lukisan & Jimson, Kekasih Sam Po Bo, Maaf Dari Sorga, Manikam Kalbu, Nama Beta Sultan Alauddin, Perempuan Politikus Melayu, Rahsia Ummi, Surat-surat Perempuan Johor, Tuhan Manusia dan Tunggu Teduh Dulu.

Ahad, 2 Mac 2008

NOVEL FAISAL TEHRANI


Cinta Ziryab mendalam sekali. Cintanya terhadap kegemilangan Melayu dalam dunia fesyen dan busana. Makna dan falsafah Melayu tercermin pada kurungnya yang cermat dikenakan. Dia menggali semula ketakjuban dalam kesenian. katanya, 'sains itu hanyalah proses sedang seni itu hasilnya'. Dia mempunyai seekor kucing, Manikam Kalbu, dan kucing montel itu penghubung cinta dua zaman. Dunia remaja yang bergelombang. Sebuah novel humor dua zaman yang langka dalam kesusasteraan Melayu.


"Gabungan antara tema, plot, watak dan perwatakan, latar dan bahasa menjadikan Manikam Kalbu sebuah novel remaja yang kuat dan menarik. Novel ini dihasilkan berdasarkan pembacaan dan kajian yang mendalam." - Panel Hakim