CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Khamis, 13 Mac 2008

Al-Jahiz - Ahli Zoologi Islam Pertama


PENGETAHUAN dalam bidang alam semula jadi termasuk kehidupan alam haiwan merupakan pengetahuan yang penting untuk didalami oleh kebanyakan masyarakat. Ini kerana tanpa alam semula jadi seperti tumbuhan dan haiwan, manusia tidak mampu hidup di muka dunia ini. Sehubungan itu, kepentingannya tidak dapat dinafikan dan pengetahuan mengenai sering diturunkan daripada para guru dan ibu bapa kepada pelajar dan anak agar mendekati alam ini dengan lebih akrab dan sentiasa menghormati kewujudannya walaupun kadang kala kita tidak mengenalinya.


Alam haiwan misalnya merupakan satu alam yang masih banyak tidak diketahui oleh manusia atau saintis masa kini walaupun usaha mengkajinya telah dijalankan sejak beribu tahun dahulu. Bagi umat Islam, mereka seharusnya berbangga kerana terdapatnya ilmuan Islam yang telah lama menjalankan kajian mengenai alam haiwan ini dan tokoh tersebut ialah Abu Uthman Amr ibn Bakr al-Kinani al-Fuqaimi al-Basri atau lebih dikenali sebagai al-Jahiz.


Al-Jahiz boleh dikatakan sebagai ahli zoologi Islam yang pertama memandangkan ia telah menghasilkan sebuah buku mengenai alam haiwan dikenali sebagai `The Book of Animals’. Ada pendapat yang menyatakan saintis Islam ini merupakan antara yang pertama membicarakan mengenai teori evolusi manusia dan haiwan. Beliau lahir pada tahun 776 iaitu 14 tahun selepas Baghdad diasaskan oleh Abbasid Caliph al-Mansur. Al-Jahiz belajar membaca dan menulis pada awal usia dan menceritakan bagaimana ibunya memberinya ‘sedulang’ kertas nota dan memberitahunya bahawa kertas-kertas itu boleh menyara hidupnya kelak.


Akhirnya, Al-Jahiz memulakan kariernya sebagai penulis dan antara tulisannya yang paling tersohor ialah Book of Animals. Beliau menerima 5,000 dinar emas dari pegawai yang menerima buku Book of Animals. Al-Jahiz telah menulis lebih 200 naskhah buku tetapi hanya 30 naskhah dapat diselamatkan. Hasil kerjanya meliputi bidang zoologi, tata bahasa Arab, puisi, retorika dan kamus. Beliau dianggap sebagai salah seorang saintis Islam yang menulis mengenai saintifik dan subjek yang kompleks untuk orang kebanyakan. Hasil kerja Al-Jahiz yang terpenting ialah Book of Animals iaitu Kitab al-Hayawan yang mana sungguhpun tidak lengkap, ia mengandungi tujuh jilid yang edisinya dicetak. Ia mengandungi maklumat saintifik yang penting dan jangkaan konsep nombor yang hanya dibangunkan sepenuhnya sehingga separuh kurun ke-20.


Dalam buku itu, Al-Jahiz membincangkan perkara mengenai peniruan haiwan iaitu sesetengah parasit menyesuaikan warnanya mengikut haiwan yang ditumpanginya. Beliau juga menulis panjang lebar mengenai pengaruh cuaca dan diet manusia serta tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang hidup di persekitaran geografi dan kawasan yang berbeza. Beliau turut membincangkan mengenai komunikasi di antara haiwan, psikologi dan tahap intelek serangga dan beberapa spesies haiwan. Selain itu, beliau menyediakan turutan yang lengkap mengenai organisasi sosial serangga yang diperoleh daripada pemerhatiannya. Antaranya bagaimana serangga menyimpan biji-bijian di dalam sarang yang tidak rosak pada musim hujan. Beliau juga tahu sesetengah serangga bertindak balas terhadap cahaya dan telah menggunakan maklumat ini untuk mencadangkan satu kaedah memerangkap nyamuk dan lalat.


Pada awal pelopor sains zoologi dan antropologi, Al-Jahiz telah menemui bahawa kesan alam sekitar terhadap kehidupan haiwan dan juga memerhati perubahan spesies haiwan berdasarkan beberapa faktor. Dalam beberapa muka surat buku itu, beliau turut menggambarkan konsep sains yang biasanya berlainan dengan konsep yang dinyatakan oleh Charles Darwin. Konsep Al-Jahiz adalah sesuatu yang baru dalam sejarah sains dan sungguhpun ahli falsafah Greek seperti Empedocles dan Aristotle membicarakan perubahan dalam tumbuhan dan haiwan, mereka tidak melakukan langkah pertama untuk memperkembangkan teori itu secara komprehensif.


Bagi mereka, perubahan itu hanya satu konsep yang ringkas dan pergerakannya pula tidak memberi makna apa-apa. Sebanyak 87 lembaran daripada buku Book of Animals (kira-kira satu pertiga daripada teks asal yang ditulis oleh al-Jahiz) kini dipelihara dan disimpan di Perpustakaan Ambrosiana Library di Milan, Itali. Koleksi itu (salinan daripada naskhah asal) bertarikh kurun ke-14 dimiliki oleh pemilik terakhir, Abd al-Rahman al-Maghribi, tahun 1615. Lembaran daripada buku Book of Animals itu mengandungi lebih 30 ilustrasi dalam bentuk kecil.


Al-Jahiz kembali ke Basra selepas menghabiskan masa lebih 50 tahun di Baghdad. Beliau meninggal dunia di Basra pada tahun 868 akibat kemalangan ditimpa rak buku di perpustakaannya.

0 ulasan: