CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Selasa, 25 Mac 2008

Jom Main Super Mario

Khamis, 13 Mac 2008

Al-Jahiz - Ahli Zoologi Islam Pertama


PENGETAHUAN dalam bidang alam semula jadi termasuk kehidupan alam haiwan merupakan pengetahuan yang penting untuk didalami oleh kebanyakan masyarakat. Ini kerana tanpa alam semula jadi seperti tumbuhan dan haiwan, manusia tidak mampu hidup di muka dunia ini. Sehubungan itu, kepentingannya tidak dapat dinafikan dan pengetahuan mengenai sering diturunkan daripada para guru dan ibu bapa kepada pelajar dan anak agar mendekati alam ini dengan lebih akrab dan sentiasa menghormati kewujudannya walaupun kadang kala kita tidak mengenalinya.


Alam haiwan misalnya merupakan satu alam yang masih banyak tidak diketahui oleh manusia atau saintis masa kini walaupun usaha mengkajinya telah dijalankan sejak beribu tahun dahulu. Bagi umat Islam, mereka seharusnya berbangga kerana terdapatnya ilmuan Islam yang telah lama menjalankan kajian mengenai alam haiwan ini dan tokoh tersebut ialah Abu Uthman Amr ibn Bakr al-Kinani al-Fuqaimi al-Basri atau lebih dikenali sebagai al-Jahiz.


Al-Jahiz boleh dikatakan sebagai ahli zoologi Islam yang pertama memandangkan ia telah menghasilkan sebuah buku mengenai alam haiwan dikenali sebagai `The Book of Animals’. Ada pendapat yang menyatakan saintis Islam ini merupakan antara yang pertama membicarakan mengenai teori evolusi manusia dan haiwan. Beliau lahir pada tahun 776 iaitu 14 tahun selepas Baghdad diasaskan oleh Abbasid Caliph al-Mansur. Al-Jahiz belajar membaca dan menulis pada awal usia dan menceritakan bagaimana ibunya memberinya ‘sedulang’ kertas nota dan memberitahunya bahawa kertas-kertas itu boleh menyara hidupnya kelak.


Akhirnya, Al-Jahiz memulakan kariernya sebagai penulis dan antara tulisannya yang paling tersohor ialah Book of Animals. Beliau menerima 5,000 dinar emas dari pegawai yang menerima buku Book of Animals. Al-Jahiz telah menulis lebih 200 naskhah buku tetapi hanya 30 naskhah dapat diselamatkan. Hasil kerjanya meliputi bidang zoologi, tata bahasa Arab, puisi, retorika dan kamus. Beliau dianggap sebagai salah seorang saintis Islam yang menulis mengenai saintifik dan subjek yang kompleks untuk orang kebanyakan. Hasil kerja Al-Jahiz yang terpenting ialah Book of Animals iaitu Kitab al-Hayawan yang mana sungguhpun tidak lengkap, ia mengandungi tujuh jilid yang edisinya dicetak. Ia mengandungi maklumat saintifik yang penting dan jangkaan konsep nombor yang hanya dibangunkan sepenuhnya sehingga separuh kurun ke-20.


Dalam buku itu, Al-Jahiz membincangkan perkara mengenai peniruan haiwan iaitu sesetengah parasit menyesuaikan warnanya mengikut haiwan yang ditumpanginya. Beliau juga menulis panjang lebar mengenai pengaruh cuaca dan diet manusia serta tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang hidup di persekitaran geografi dan kawasan yang berbeza. Beliau turut membincangkan mengenai komunikasi di antara haiwan, psikologi dan tahap intelek serangga dan beberapa spesies haiwan. Selain itu, beliau menyediakan turutan yang lengkap mengenai organisasi sosial serangga yang diperoleh daripada pemerhatiannya. Antaranya bagaimana serangga menyimpan biji-bijian di dalam sarang yang tidak rosak pada musim hujan. Beliau juga tahu sesetengah serangga bertindak balas terhadap cahaya dan telah menggunakan maklumat ini untuk mencadangkan satu kaedah memerangkap nyamuk dan lalat.


Pada awal pelopor sains zoologi dan antropologi, Al-Jahiz telah menemui bahawa kesan alam sekitar terhadap kehidupan haiwan dan juga memerhati perubahan spesies haiwan berdasarkan beberapa faktor. Dalam beberapa muka surat buku itu, beliau turut menggambarkan konsep sains yang biasanya berlainan dengan konsep yang dinyatakan oleh Charles Darwin. Konsep Al-Jahiz adalah sesuatu yang baru dalam sejarah sains dan sungguhpun ahli falsafah Greek seperti Empedocles dan Aristotle membicarakan perubahan dalam tumbuhan dan haiwan, mereka tidak melakukan langkah pertama untuk memperkembangkan teori itu secara komprehensif.


Bagi mereka, perubahan itu hanya satu konsep yang ringkas dan pergerakannya pula tidak memberi makna apa-apa. Sebanyak 87 lembaran daripada buku Book of Animals (kira-kira satu pertiga daripada teks asal yang ditulis oleh al-Jahiz) kini dipelihara dan disimpan di Perpustakaan Ambrosiana Library di Milan, Itali. Koleksi itu (salinan daripada naskhah asal) bertarikh kurun ke-14 dimiliki oleh pemilik terakhir, Abd al-Rahman al-Maghribi, tahun 1615. Lembaran daripada buku Book of Animals itu mengandungi lebih 30 ilustrasi dalam bentuk kecil.


Al-Jahiz kembali ke Basra selepas menghabiskan masa lebih 50 tahun di Baghdad. Beliau meninggal dunia di Basra pada tahun 868 akibat kemalangan ditimpa rak buku di perpustakaannya.

KEPENTINGAN MENGUASAI ILMU YANG BERMANFAAT


Al-Quran memberikan asas tentang ilman nafia atau ilmu yang bermanfaat dan yanfaunnas atau sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia. Sejarah pertumbuhan ilmu dan tamadun Islam telah menyebabkan ia tidak tertutup untuk memanfaatkan faedah berbanding dari tradisi keilmuan orang lain. Ada asas-asas universal yang terdapat pada ilmu yang berkenaan yang tidak bercanggah dengan faktor akidah dan syarak.
Kunjungan al Biruni ke India, pengembaraan Ibn Battuta ke serata ceruk dunia, penguasaan al Farabi, Ibn Sina terhadap ilmu-ilmu falsafah Greek-Yunani, anjuran Rasulullah supaya ilmu dituntut hingga ke negeri China.

Begitu juga kaedah menebus diri tawanan perang dengan mengajarkan anak-anak Islam kemahiran membaca dan menulis pada zaman Rasulullah. Semuanya adalah asas sandaran bahawa di samping pemerkasaan ilmu-ilmu Islam, ilmu yang bermanfaat dari tradisi dan tamadun lain harus dicari selagi ia tidak bercanggah.

Lebih-lebih lagi dewasa ini umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu-ilmu sains dan teknologi dari Barat dan Timur. Hasil kekuatan sains dan teknologi ini kuasa-kuasa Barat memiliki upaya menakluk dan menjajah dan kuasa-kuasa sedang muncul sebagai negara maju dan bakal menjadi kuasa besar.

Penaklukan dan penjajahan kini tidak seperti dulu. Kehebatan teknologi langit terbuka, rangkaian teknologi maklumat dan komunikasi, kesuburan media cetak dan elektronik, rangkaian Internet dan sistem komputer yang canggih telah memberikan bentuk ‘penjajahan’ baru kepada umat Islam.

Cabaran untuk mengetahui aspek-aspek teknologi amat dituntut supaya umat Islam tidak selamanya menjadi pengguna kepada keunggulan ilmu dan teknologi Barat umpamanya sehingga Barat dijadikan indikator maju, moden, membangun dan berubah secara mutlak.

Mempelajari teknologi atau ilmu alat tidaklah salah. Teknologi dari sudut Islam selamanya alat. Ia bukan matlamat. Matlamat dalam komputer dan Internet umpamanya ialah untuk memperkaya, mempercepat dan mempelbagaikan maklumat supaya pemikiran manusia menjadi lebih luas.

Secara mekanistiknya tidaklah salah. Tetapi terdapat sesetengah maklumat, perisian, input dan program dalam komputer dan Internet mengandungi hal-hal yang sifatnya menyalahi. Ia memerlukan daya saring yang tinggi di kalangan pengguna supaya pengguna dapat membezakan yang baik dengan yang buruk dan yang bermanfaat atau sebaliknya.

Adalah menjadi cabaran remaja untuk memahami keadaan ini supaya para remaja tidak terjebak dalam perangkap Barat atau yang boleh merosakkan minda remaja. Persoalan maklumat berkait rapat dengan pemikiran. Orientasi maklumat yang datang dari budaya orang lain kadang-kadang membawa orientasi dan nilai yang tidak sama dengan nilai-nilai Islam.

Apa yang patut dilakukan oleh remaja ialah memiliki tekad dan azam yang tinggi untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat dari orang lain, tradisi lain malah tamadun lain. Oleh kerana sifat sains dan teknologi berkembang, para remaja harus bersedia untuk menguasai ilmu-ilmu baru supaya umat Islam sentiasa semasa dengan perkembangan zaman. Namun begitu para remaja harus terlebih dahulu menguasai asas-asas ilmu dan pemikiran Islam. Ulama dan ilmuwan Islam di zaman gemilang dulu menguasai ilmu-ilmu mengenai akidah, syariah, ibadah dan akhlak supaya mereka memiliki jati diri sebagai seorang Islam yang berilmu dan menghayati ilmu.

Asas-asas ini sangat penting untuk memberikan para remaja kekuatan diri menghadapi maklumat, data dan fakta dari sumber-sumber orang lain atau sumber berbanding. Apabila dewasa kelak, ia akan berkembang kerana sifat ilmu dan maklumat tidaklah statik. Batas fardu ain umpamanya tidak memadai bagi remaja. Ini kerana corak cabaran semasa jauh menuntut supaya penguasaan ilmu alat seperti sains dan teknologi, komputer dan penyelidikan, pengurusan dan perundangan, ekonomi dan kajian ilmu-ilmu kemanusiaan, tamadun dan sistem nilai supaya remaja mempunyai perspektif yang betul dan asas yang jelas mengenai ilmu Islam dan kaitannya dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dari sumber orang lain.

Adalah tidak memadai seorang umat Islam yang menguasai ilmu fardu kifayah maka semua yang terlepas dosa. Ia adalah syarat fikah yang minimum.Ilmu dan maklumat bukanlah sesuatu yang sifatnya berkecuali. Tumbuhnya ilmu dan suburnya maklumat adalah dari pengalaman budaya dan sistem nilai yang dimiliki dan diwarisi oleh sesuatu bangsa dan tamadun. Tamadun Barat pada hari ini banyak menumpukan kepada faktor-faktor memajukan benda dan pemikiran berasaskan faham sekular dan liberal.

Faham ini amat berbahaya bagi orang-orang Islam kerana ia menolak kepentingan agama dan sistem nilai. Oleh itu para remaja yang memiliki asas ilmu Islam yang baik tidak mempunyai masalah untuk memanfaatkan sumber-sumber dari Barat atau Timur sekiranya para remaja dapat membezakan buruk-baik akan sesuatu dan dapat mengenal sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.

Teknologi komputer umpamanya adalah sesuatu yang baik untuk di pelajari. Dari sudut perkakasan (hardware) dan teknologinya tidaklah ada masalah bagi remaja mempelajarinya. Tetapi apabila menggunakannya sistem nilai dan kekuatan agama adalah perlu bagi memandu remaja melayari yang baik dan menghindarkan yang tidak berfaedah. Yang memberikan perbezaan dari segi penggunaan ialah sistem nilai dan etika yang dimiliki oleh remaja. Sekiranya sistem nilai dan etika itu lahir dari penghayatan tradisi Islam, maka para remaja akan memiliki kekuatan serta berupaya memilih dan menyaring sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya. Dalam masa yang sama, remaja harus rasa tercabar untuk meneroka dan menghasilkan perisian yang selari dengan proses pembudayaan dan pemikiran yang sejalan dengan nilai-nilai Islam. Ia adalah proses yang tidak mudah dan menuntut masa yang lama dan panjang kerana sifat teknologi dan maklumat selalunya dinamik dan tidak statik. Ia adalah suatu usaha yang berterusan. Cara sebegini jugalah yang pernah berlaku di Eropah dalam proses memanfaatkan ilmu-ilmu Islam di kalangan sarjana mereka. Walaupun mereka menguasai bahasa di mana ilmu Islam itu lahir dan tumbuh tetapi sumber ilmu ditatang dengan menggunakan bahasa Latin dan Ibrani dan dewasa dalam kehidupan zaman reformasi dan Renaissance sehingga menjadikan ilmu itu terpisah dengan sistem nilai dimana ilmu itu asalnya subur. Lama kelamaan ilmu itu menjadi sekular dan berkembang secara liberal tanpa terikat dengan nilai-nilai agama. Remaja Islam harus mempunyai tekad untuk menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik sehingga dewasanya nanti memiliki keahlian dan kepakaran dalam bidang-bidang yang tertentu. Kesediaan dan keterbukaan perlu ada untuk memanfaatkan faedah-faedah berbanding dalam ilmu-ilmu dari sumber dan tamadun lain supaya akhirnya ilmu tersebut berkembang dalam orientasi dan budaya Islam.

Inilah asas-asas integrasi dan Islamisasi yang sedang berlaku supaya ilmu-ilmu yang bermanfaat terbentuk dalam acuan kita sendiri. Darinya umat Islam akan menjadi maju di samping keunggulan ilmu dan tamadunnya sendiri. Penyuburan ilmu-ilmu Islam seharusnya berlaku supaya ia menjadi teras membangun acuan sendiri yang sifatnya menyumbang dan memperkayakan.

- Artikel dipetik dari Mega, Utusan Malaysia 19 April 2007.

Khamis, 6 Mac 2008

GURINDAM PELAJAR

Jika anda jadi pelajar,
Jangan malas untuk belajar.

Jika anda menuntut ilmu,
Jangan sesekali berasa jemu.

Jika rajin mengulang kaji,
Mudah jawab apa diuji.

Jika anda hendak berlatih,
Mesti tahan penat letih.

Jangan asyik berangan-angan,
Tekun gigih jadi pegangan.

Jika berusaha sambil lewa,
Tidak hairan kalau kecewa.

Jika belajar tidak jemu,
Banyak ilmu akan ditemu.

Apa gunanya banyak bercakap,
Jika kerja tidak cekap.

Jika suka ponteng sekolah,
Ilmu tidak dapat tentu rugilah.

Berusaha dengan bersungguh-sungguh,
Jangan suka tangguh-tangguh.

Jika tak mahu dengar nasihat,
Apabila besar jadi jahat.

Jika tulisan terang dan bersih,
Hati pemeriksa sayang dan kasih.

Banyak membaca fikiran kaya,
Rajin berusaha pasti berjaya.

Jika tulisan tak boleh dibaca,
Mata pemeriksa akan berkaca.

Masa itu emas dan wang,
walaupun sedikit jangan dibuang.

Jangan nanti esok lusa,
Masa beredar tanpa dirasa.

Jika leka sering bersuka,
Tidak hairan datang celaka.

Jika rajin membaca buku,
Otak cerdas tidak beku.

Jangan mudah putus asa,
Semua harapan hancur binasa.

Jika anda bekerja kuat,
Banyak perkara boleh dibuat.

Budi bahasa amat berharga,
Tingkah laku wajib dijaga.

Sudah tahu belajar lagi,
Banyak untung tiada rugi.


Mas Adeki

GURINDAM PELAJAR II






















Kurangkan hiburan utamakan pelajaran,

Gigih berjuang hadapi cabaran.

Jika anda malas belajar,
Markah sedikit memanglah wajar.

Jika buat lebih kurang,
Markah pasti dapat kurang.

Dengar lihat fikir buat,
Semangat usaha gigih kuat.

Kurangkan cakap banyakkan kerja,
Tekun cekap semangat waja.

Jangan asyik leka bersuka,
Hilang suka wujud duka.

Jika hidup tidak beriman,
Iblis setan menjadi teman.

Pelajar wajib berfikiran positif,
Otak cerdas badan pun aktif.

Pantang sekali berputus asa,
Akan membawa diri binasa.

Kuatkan azam tabahkan hati,
Teruskan usaha tunjukkan bukti.

Pelajar sopan berbudi bahasa,
Pandai pula membalas jasa.

Masa itu amat berharga,
Biar sesaat hendaklah dijaga.

Ada masa terus buat,
Jangan sampai nanti terlewat.

Baca soalan dengan teliti,
Kemudian jawab dengan hati-hati.

Soalan senang jawapan tak susah,
Fikiran tenang janganlah gelisah.

Tegur nasihat untuk membina,
Jangan sesekali dikata menghina.

Jika perkataan disalah eja,
Markah hilang begitu sahaja.

Jika guru sentiasa peka,
Para pelajar janganlah leka.

Jika guru berusaha gigih,
Pelajar pula mestilah canggih.

Susah senang perkara biasa,
Setiap insan pasti merasa.

Hadapi peperiksaan dengan tabah,
Tenangkan perasaan usah gelabah.

Kalau markah dapat sedikit,
Hati di dalam janganlah sakit.

Jika jawapan tidak disemak,
Dakwat merah turut menyemak.

Jika guru tidak dihormati,
Ilmu yang dapat tidak diberkati.

Rujuk selalu Kamus Dewan,
Dampingi selalu jadikan kawan.

Budaya lepak janganlah amalkan,
Gagal periksa jangan kesalkan.

Mas Adeki

PENGARANG PROLIFIK



Faisal Tehrani adalah nama pena kepada Mohd Faizal Musa. Beliau dilahirkan pada 7 Ogos 1974 di Hospital Kuala Lumpur. Pada usia 5 tahun beliau dibawa ibu-bapanya berpindah ke Melaka dan dibesarkan di kota bersejarah tersebut.

Faisal Tehrani mendapat pendidikan awal di Sekolah Sacred Heart Melaka, kemudian di Sekolah Rendah Jalan Dato? Palembang dan memperolehi 5 A untuk peperiksaan Penilaian. Faisal kemudian menuntut di Sekolah Menengah Sultan Muhammad sehingga Tingkatan Tiga, lantaran keputusan SRP yang cemerlang, beliau ditawarkan belajar di Kolej Islam Kelang (Kolej Islam Sultan Alam Shah). Kisah-kisah awal remaja Faisal banyak disirikan di dalam majalah Fokus SPM.

Faisal seterusnya menuntut di Akademi Islam Nilam Puri Kelantan sebelum meneruskan pengajian sehingga memperolehi ijazah Sarjana Muda Syariah Politik dari Universiti Malaya.Tidak lama kemudian Faisal menjadi fellow di Universiti Sains Malaysia. Beliau meneruskan pengajian peringkat Sarjana (MA) dalam jurusan Kesusasteraan dan kini melanjutkan pelajaran dalam kedoktoran (PhD) pula di UKM.

Dalam bidang drama pentas Faisal menulis tiga buah drama setakat ini iaitu Rintih Chicago (memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97), drama Angin Madinah (memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran Yayasan Pelajaran Islam Malaysia dan DBP) serta drama MISI yang dikerjakan bersama pengarah muda terkenal Nam Ron. Dalam tahun 2002 dilaporkan beliau akan bekerjasama sekali lagi dengan Nam Ron di samping mementaskan sebuah drama yang diadaptasi dari sebuah novel sensasi karangan seorang Sasterawan Negara.Dalam genre novel, Faisal menulis antara lain novel Cinta Hari-hari Rusuhan (Creative Enterprise 2000) dan Perempuan Politikus Melayu (Penerbitan Pemuda 2000). Novel Perempuan Politikus Melayu mendapat pujian pengkritik sastera antara lain seperti Profesor Madya Amida Abdul Hamid, SM Zakir dan Dato Johan Jaafar dan dianggap sebuah novel yang berani. Novel Jendela Berlangsir Hujan disirikan dalam majalah EH! mendapat sambutan dan masih berlangsung mengenai persahabatan tiga gadis Latha Baskaran, Dang Asmara dan Chloe Robertson. Novel bersiri Dongeng Kingdom Of Flowers di majalah al-Wasilah bagaimanapun terbantut setelah majalah remaja tersebut diharamkan oleh kerajaan tanpa sebarang alasan. Faisal beruntung mendapat asuhan antara lain dari Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, Sasterawan Negara Dato Shahnon Ahmad, pemenang SEA Write Award Zaharah Nawawi dan Sutung Umar RS dalam bidang puisi. SN Dato Shahnon malah mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga Faisal. Pada tahun 1999 Faisal bersama Mawar Shafie, Hizairi Othman, Jasni Matlani mewakili Malaysia ke Program Penataran Sastera anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara di Jakarta dan Bogor.

Cerpen pertama beliau tersiar pada tahun 1992 di majalah Muslimah dengan judul Anastasia. Faisal hanya disedari oleh khalayak sastera pada tahun 1994 apabila cerpen-cerpen beliau iaitu cerpen Anak dan cerpen Opah memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank 1994. Tahun yang sama beliau memenangi Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat menerusi cerpen Malam Ini Philadelphia Menangis, anugerah paling berprestij untuk penulis remaja waktu itu (kini sudah tiada).

Kejayaan ini diikuti pada tahun 1995 apabila beliau memenangi sekali Hadiah Sastera Utusan dengan cerpen Pemberontakan Kedua. Tahun 1996 Faisal dikurniai rezeki yang murah dengan memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank dengan cerpen Perempuan Anggerik dan cerpen Api KL Belum Terpadam, Hadiah Sastera Berunsur Islam anjuran BAHEIS kelapan dengan cerpen Menanti Subuh. Dalam tahun 1997, cerpen Surat Untuk Gabe 1 memenangi Hadiah Sastera Karya.

Faisal seterusnya memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia pada tahun 1998 (dengan cerpen Cinta Gendang Kasturi), 1999 (cerpen Bulan dan Wira dan puisi Sesudah Hujan Dahlia) dan dalam tahun 2000 dengan cerpen Irisan-irisan Mimpi dan Syahid Raja Api. Faisal juga memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 96/97 dengan cerpen Perempuan Anggerik. Cerpen beliau ini diterjemahkan ke bahasa Thai, Inggeris dan Jepun serta diadaptasi ke dramatari oleh kareografer terkenal Adikara Dance Theatre, Jasni Abdul Hamid pada 29 Julai 2001. Dalam tahun 2001 juga Faisal memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam dengan cerpen Cahaya Pada Jiwa. Salah sebuah cerpen Faisal iaitu Kerana Manisnya Epal terkandung dalam komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu bagi Tingkatan Empat. Dua kumpulan cerpen mini beliau diterbitkan di Sasbadi dengan judul Sehari Dalam Perang (1997) dan Safari Gilgit (1997). Beliau membuat "kecoh" bersama Azman Husin dalam tahun 2000 dengan menerbitkan Kumpulan Cerpen Underground secara "berduet".

Beliau merupakan seorang pengarang yang prolifik dan konsisten dalam menghasilkan karya-karya sastera. Antara novel-novel yang dihasilkan oleh Faisal ialah 1511 H (Kombat), 1515, Advencer Si Peniup Ney, Bedar Sukma Bisu, Bila Tuhan Berbicara, Cinta Hari-hari Rusuhan, Detektif Indigo, Ikan Fugu, Lukisan & Jimson, Kekasih Sam Po Bo, Maaf Dari Sorga, Manikam Kalbu, Nama Beta Sultan Alauddin, Perempuan Politikus Melayu, Rahsia Ummi, Surat-surat Perempuan Johor, Tuhan Manusia dan Tunggu Teduh Dulu.

Ahad, 2 Mac 2008

NOVEL FAISAL TEHRANI


Cinta Ziryab mendalam sekali. Cintanya terhadap kegemilangan Melayu dalam dunia fesyen dan busana. Makna dan falsafah Melayu tercermin pada kurungnya yang cermat dikenakan. Dia menggali semula ketakjuban dalam kesenian. katanya, 'sains itu hanyalah proses sedang seni itu hasilnya'. Dia mempunyai seekor kucing, Manikam Kalbu, dan kucing montel itu penghubung cinta dua zaman. Dunia remaja yang bergelombang. Sebuah novel humor dua zaman yang langka dalam kesusasteraan Melayu.


"Gabungan antara tema, plot, watak dan perwatakan, latar dan bahasa menjadikan Manikam Kalbu sebuah novel remaja yang kuat dan menarik. Novel ini dihasilkan berdasarkan pembacaan dan kajian yang mendalam." - Panel Hakim

Khamis, 28 Februari 2008

NOVEL TERBARU SHAHNON AHMAD


Membaca Mahabbah, novel terbaharu Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, terkesan bahawa novel ini memberi kelainan daripada novel-novelnya yang terdahulu dan daripada novel-novel yang dihasilkan oleh novelis yang lain. Ia tidak sahaja memaparkan cerita, malah mengejutkan pemabca dengan beberapa kelainan sehingga sebahagian ciri penting yang menidentifikasikan dan memantapkan sesebuah novel yang telah dianggap tidak penting lagi dirombak dalam Mahabbah. Kelainan persembahan Mahabbah mempunyai hubungan yang erat dengan pemusatan cerita tertumpu pada perjalanan minda ikon Endar sahaja. Ikon lelaki tua yang mengalami serangan penyakit 'Myasthenia Gravis' sehingga melumpuhkan anggota badannya dan terlantar di perbaringan hanya berupaya menggerakkan mindanya pada dua persoalan yang utama: Bangsanya yang berpecah dan bertelagah serta dirinya yang telah bersedia untuk meninggalkan alam fana dan berpindah ke alam barzakh.

HATI KU..















Hati ku..
Dahulu gelap dan hitam pula..
Seperti malam tanpa cahaya..
Mengapa…??
Kerana dosa banyak tak terkira..
Kerana pahala tak selalu dicuba..

Hati ku…
Makan minum tak pernah dijaga..
Halal haram dibelasah semua..
Janji hilang lapar dan dahaga..
Janji puas nafsu di dada..

Hati ku…
Sering lalai menyaksikan dunia…
Dunia sekitar amat mengoda..
Semuanya cuba mengheret ke neraka..
Ku sedar tapi sebenarnya lupa..

Hati ku…
Zikir dan Quran tak pernah di baca…
Solat pun macam nak tak nak je..
Sedekah pulak usah dicerita..
Puasa sunnah tak mahu juga..

Hati ku…
Pintu taubat masih terbuka..
Bersihkan hati tambahkan pahala..
Jangan tunggu esok dan lusa..
Kerana mati tak kenal usia..
Kerana neraka telah tersedia..
Untuk hamba yang durhaka..

KEAGUNGAN ILAHI

Ratu malam sang rembulan
Raja siang sang matahari
Keduanya selalu bertentangan,

Tarik menarik
Dorong mendorong
Saling menguasai,
Seolah selalu bertanding tiada henti

Tiada yang kalah
Tak ada yang menang,
Kerana dengan kedua sifat yang bertentangan ini
Seluruh alam semesta bergerak!

Dunia berputar,
Saling mengisi,
Yang satu melengkapi yang lain
Tanpa yang satu
Takkan ada yang lain,

Siang dan malam
Terang dan gelap
Baik dan jahat
Tanpa yang satu,
Apakah yang lain itu akan ada?
Tanpa adanya gelap,
Dapatkah kita mengenal terang?

Inilah sebuah kenyataan
Yang telah dikenhendaki Allah
Tanpa kehendaknya,
takkan terjadi apa-apa.

KAMI TIDAK LAGI MUDAH LUPA

Tidak seperti orang tua kami
yang mudah melupakan
dan cepat memaafkan
segala kezaliman.
Kami adalah generasi
yang tidak mudah terpesona
oleh ucapan semanis gula
dan tidak juga mudah hiba
oleh titisan air mata.
kami masih belum lupa
segala pentas sandiwara
dan masih bisa menghafal
dialog setiap watak
lantaran kami bukanlah
perwakilan sidangmu
yang meletakkan minda mereka
di bawah tempurung kelapa.
kami tidak lagi mudah lupa.
sekali kami dilebamkan mata
sejuta tahun tidakkan lupa.


ZIZIE ALI
24.06.01

MENCARI SINAR ILMU

Petang itu, aku duduk termenung di jendela asrama. Suasana pada petang itu memang cerah. Kulihat keadaan sekeliling. Sunyi dan sepi. Tiada terdengar suara. Namun, mengapa? Mengapa suara itu masih terngiang-ngiang di telingaku. Aku pasrah, kata-kata mak dan ayah masih menghiris perasaanku. Hatiku luluh mendengar kata-kata mereka. Aku hanya mampu berdiam. Walaupun aku tahu hatiku memang sakit. Sakit seperti dicucuk-cucuk duri sembilu.
“Kau Sofia, tak payahlah nak belajar tinggi-tinggi. Mak dan ayah tak suka. Kau cari kerja sajalah. Kau bukan tak tahu, ramai graduan sekarang ni menganggur, Kalau kau mula cari kerja sekarang ,tentu kau dah boleh tampung hidup keluarga kita ni. Tak payah kami susah-susah tanggung kau lagi. Lagipun tak guna kau belajar tinggi-tinggi, umur kau tu makin lama makin meningkat. Satu hari nanti kau akan berkahwin juga. Kau ni Sofia, kau tengok abang kau tu, tiap-tiap bulan bagi mak dan ayah duit. Kau sepatutnya jadikan abang kau tu contoh terbaik”. Kata-kata itu memang cukup pedih dan memberi tamparan hebat pada diriku. Mengapa mak dan ayah masih tidak mengerti ?. Aku pasrah.
Masihku ingat, pada hari itu juga, aku bergegas pulang ke asrama Universiti Putra Malaysia. Aku tidak tahu. Kata-kata mak dan ayah seperti memandu aku untuk kembali ke universiti. Mungkin rajuk di hati. Tidak mengapalah, mungkin di sini dapat memberi seribu ketenangan dalam hidupku.
Hari itu juga, aku mula sedar mak dan ayah tidak bersetuju aku menyambung pengajian di peringkat ijazah. Aku sedih. Mak dan ayah sepatutnya memberi semangat dan dorongan kepadaku. Mereka tidak sepatutnya menghalang niat baikku untuk meneruskan pelajaran. Bukankah dalam agamapun menyeru kita supaya menuntut ilmu. Dalam masa yang sama juga, Imran, teman lelakiku mendesak aku supaya berkahwin dengannya. Dia juga tidak bersetuju untuk aku menyambung pelajaran.
“Sofia, mengapa muram saja ni? Kau ada masalah ke?” “Tak adalah Mira, aku kurang tidur saja”. Aku seperti menyembunyikan sesuatu. “Sofia, kau jangan nak berbohonglah. Aku kenal perangai kau, tentu kau ada masalah kan? Kau lupa ke ? Aku dah kenal kau sejak dari hari pertama kita belajar di peringkat diploma lagi. Kau tak usahlah sembunyikan masalah kau tu Sofia. Cuba kau cerita dengan aku. Manalah tahu aku dapat membantu”.
Pada mulanya, lidah ku kelu hendak meluahkan segala masalahku kepada Mira. Aku malu. Aku risau kalau-kalau dia memandang serong kepada ibu bapaku. Mira merupakan seorang teman yang baik. Dia rakan sekuliah ku. Ke mana sahaja aku pergi, pasti dia ada. Persahabatan kami seperti isi dengan kuku. Bagai air dicincang , tidak akan putus. Begitulah akrabnya persahabatan kami.
“Mira, aku memang mempunyai masalah .Tapi aku malu nak berbicara dengan kau”. “Sofia, janganlah begini, cuba ceritakan. Aku sudi mendengarnya”. Begini, sejak akhir-akhir ini, fikiranku sangat runsing. Ibu bapaku tidak suka aku melanjutkan pelajaran. Imran pula mendesak supaya aku berkahwin dengannya. Aku sudah jelaskan kepadanya, aku bukan tak mahu, aku cuma minta dia tunggu sehingga aku tamat belajar. Tapi dia masih tak faham. Kami bertengkar. Aku tidak faham dengan sikap mereka, kadang kala aku cemburu dengan ibu bapa kau Mira, mak dan ayah kau menyokong kuat niat kau untuk menyambung pelajaran. Teman lelaki kau pun tidak mendesak kau untuk cepat-cepat berkahwin. Kau pun tahu Mira, sepanjang aku belajar di sini, aku tak pernah minta sesenpun duit mak dan ayah aku. Wang pinjaman ptptn aku tu lah yang aku gunakan sejimat yang mungkin. Walaupun kadang kala aku terpaksa mengikat perut, menahan lapar kerana tidak mempunyai wang yang lebih untuk makan, aku tak pernah mengungkit, sebaliknya aku sabar dan berdiam diri sahaja.
Entahlah, mungkin dah nasib aku agaknya. “Sofia, kau tak boleh bersikap begini, kau harus tabah Sofia. Mungkin waktu itu, ibu bapa kau runsing dan tercakap yang bukan-bukan.
Anggapan Mira terhadap ibu bapaku mungkin begitu. Namun, hatiku dapat merasakan kata-kata mak dan ayah memang datangnya dari hati kecil mereka yang benar. Aku tahu, mungkin aku tidak sepatutnya berfikiran seperti ini, tetapi aku juga mempunyai pandangan sendiri. Terbukti mereka memang tidak suka untuk aku meneruskan pengajianku. Pada waktu ini, aku memang keliru. Terasa lemah semangatku untuk pulang kembali ke rumah mak dan ayah. Namun kewajipanku sebagai anak aku takkan lupakan. Aku perlu balik ke kampung juga untuk melihat keadaan mereka. Sihat ke? Sakit ke? Aku perlu lihat. Itu kewajipanku.
Diam tak diam, sudah tiba waktu cuti semester. Rakan-rakanku, sudah mula mengemas beg pakaian untuk pulang ke kampung masing-masing. Aku dapat melihat sinar kegembiraan pada wajah mereka. Senyuman dan hilai tawa menggamit suasana.
Di sebalik kesibukan dan keriangan mereka. Aku hanya mampu berbaring di katil bilikku. Beg pakaian tidak dikemas. Senyumanku juga tawar. Hatiku terasa berat. Berat untuk pulang ke rumah. Rumah yang membawa seribu satu kenangan dalam hidupku. Kakiku terasa kaku. Berat untuk melangkah. Namun aku harus gagahkan juga.
Jam sudah menunjukkan jam tiga petang. Aku perlu ke stesen Puduraya untuk membeli tiket untuk pulang ke kampung. Aku dapat merasakan, akulah orang terakhir yang keluar dari asrama untuk pulang ke kampung. Rakan-rakanku yang lain semuanya lebih pantas dan tidak sabar-sabar untuk bertemu keluarga tercinta. Kadang kala aku merasa kecewa. Mengapa aku tidak seperti mereka. Mengapa aku tidak seriang seperti rakan-rakanku yang lain. Seronok untuk pulang ke kampung.
Suasana di Puduraya sungguh sibuk. Ramai orang berpusu-pusu membeli tiket. Sehingga ada yang bertolak-tolakkan semata-mata untuk mendapatkan tiket. Kakak di kaunter tiket juga nampak keletihan. Mungkin letih melayan pelanggan yang tidak henti-henti membeli tiket.
Kini tiket, ada di tanganku. Aku turun ke platform 1 untuk menaiki bas. Bas Satria menanti kehadiranku. Hatiku sekali lagi berat. Terasa hendak kualihkan hati ini supaya aku dapat balik ke kampung dengan tenang. Namun tidak tercapai. Aku perlu tabah dan sabar. Bas di hadapan mataku. Aku menaiki anak tangga bas dengan perlahan. Aku duduk di tempat duduk 3, nombor itu memang tertulis di tiket basku. Aku duduk. Diam sahaja. Namun fikiranku bercelaru.
Johor tempat lahirku. Di sinilah aku membesar. Mengenal erti kehidupan. Suka dan duka. Kota ini memang indah. Tersimpan pelbagai sejarah. Aku juga telah mengukir sejarah di sini. Aku belajar di sini. Tidak sangka aku berjaya. Teringat ketika di sekolah dahulu, aku merupakan pelajar harapan sekolah. Aku memang seorang pelajar yang bijak. Guru-guruku juga bangga dengan kejayaanku. Bila sahaja keputusan SPM atau Sijil Pelajaran Malaysia mula dikhabarkan keluar. Akulah orang pertama yang datang ke sekolah, untuk melihat keputusanku itu. Tidak syak lagi. Aku mendapat 9A1 dalam semua mata pelajaran. Waktu itu, aku sangat gembira. Air mataku jatuh berguguran. Bukan sedih. Tapi terlalu gembira. Gembira dengan kecemerlanganku dalam pelajaran.
Tapi, aku sedih. Bila sahaja aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma ibu bapaku seperti menghalang. Mereka tidak bersetuju. Mereka menyuruh aku mencari pekerjaan. Ketika itu aku sangat sedih. Perasaanku hampa. Aku hairan. Mengapa mereka tidak memberi dorongan kepadaku. Apa salahku. Mujurlah ada kakak. Kakaklah yang banyak memberi semangat dan dorongan kepadaku untuk menyambung pengajian. Susah senang aku bersama kakak. Segala masalah pelajaran ,aku luahkan hanya kepadanya. Kadang kala aku menangis di hadapan kakak. Aku luahkan segala rasa yang terpendam. Kakakku banyak memberi nasihat dan dorongan supaya aku meneruskan pengajianku tanpa ada rasa ragu-ragu. Kakak tahu, kata-kata mak dan ayah serta sikap teman lelakiku yang tidak memahami itu kadangkala, menyebabkan aku hilang semangat untuk belajar. Ada ketikanya, aku merasakan lebih baik sahaja aku berhenti belajar dan pergi mencari pekerjaan. Tetapi kakaklah yang memberi nasihat supaya aku tidak terpengaruh dengan kata-kata mak dan ayah. Aku bersyukur kerana dikurniakan kakak sepertinya.
Jam kini sudah menunjukkan enam petang. Sudah lama rupanya aku mengelamun. Sudah sampai rupanya aku di kota Johor. Wajah mak dan ayah muncul dalam ingatan.
“Assalamualaikum”. Aku memberi salam. Tiba-tiba terjengul mak dan ayahku di pintu rumah kampungku. Aku menyalam lembut tangan mereka. Hatiku berdebar-debar. Aku berlalu masuk ke bilik. Tiba-tiba mak dan ayah datang menghampiriku. “Sofia bagaimana dengan pelajaran kau di sana nak?” Ya, Sofia, bagaimana… ayah turut berkata-kata. Jiwaku tersentak. Tidak pernah mak dan ayah bertanya mengenai pelajaranku sepanjang dua tahun aku di kampus. Dahulu pun, mereka hanya bimbang akan pelajaran adik –adikku sahaja. Tidak pernah sekalipun bertanyakan tentang aku.
Aku masih teringat, ketika hendak melanjutkan pelajaran di sekolah teknik. Mereka membantah. Namun apabila adik-adikku hendak menyambung pelajaran di sekolah teknik, mereka tidak kisah. Malah, menyokong kuat keputusan adik-adikku itu. Aku pelik. Tapi biarlah aku lupakan tentang itu dahulu. Mungkin ada sesuatu yang ingin mak dan ayah katakan sehingga datang menjenguk ke kamarku.
“Sofia, mak dan ayah minta maaf nak”. Kami tahu kami bersalah. Kami hanya mementingkan diri kami sahaja. Tak pernah kami menghiraukan tentang pelajaran kau nak. Makan minum kau di sana pun kami tak pernah bertanya. Ibu bapa jenis apakah kami ini nak”. “ Jangan berkata begitu mak.. ayah…”. Mak dan ayah tak bersalah, Sofia yang bersalah. Selama ini pun Sofia jarang balik ke rumah. Jarang jenguk mak dan ayah.
“Mak dan ayah tidak sepatutnya buat kau begini Sofia. Mak dan ayah kini sedar., selama ini wang ringgit mengaburi mata kami. Abang kau dah tertangkap nak.. dia dituduh mengambil rasuah. Selama ini, mak dan ayah dapat wang dari hasil duit yang haram nak. Mak betul-betul menyesal. Sekarang mak sedar Sofia, wang ringgit tidak boleh dibandingkan dengan betapa berharganya dengan sekalung ilmu. “Mulai detik itu, aku berasa sangat bersyukur, mak dan ayah kini sedar bahawa wang ringgit bukanlah penentu utama kejayaan dalam hidup seseorang Seperti kata pepatah “Ilmu penyuluh hidup”. Ilmu memberi kita jalan untuk meneruskan liku-liku kehidupan dengan penuh kecemerlangan. Aku juga tidak menjalin hubungan lagi dengan Imran. Dia kini juga mempnyai kekasih baru dan bakal berkahwin. Mungkin aku sedikit kecewa. Tapi tidak mengapalah. Ilmu membuka mata kepada aku untuk mengenali dirinya yang sebenar. Sememangnya, kini aku tahu dia bukanlah insan yang tercipta untukku. Dia bukan jenis lelaki yang memahamiku.

Al - 'Asr

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.